Friday, December 28, 2012

Pengakuan Irma Hasmie - "Saya Banyak Beralah!!"

BERSAMA suaminya, Redza Syah Azmeer Mohd. Redzuan yang selalu menemani serta memberi dorongan kepadanya.
 
DUNIA lakonan adalah bidang yang telah mengangkat nama Irma Hasmie menerusi drama-drama dan filem-filem tempatan sejak lebih lima tahun yang lalu. Malah sehingga kini pun bidang lakonan masih lagi merupakan kerjaya sepenuh masa pelakon berusia 30 tahun itu.

Biarpun telah berkahwin dan kini sedang sarat mengandung enam bulan tetapi minat dalam bidang lakonan belum terpadam dalam jiwa Irma. Status sebagai isteri ternyata turut tidak menghalang pelakon berasal dari Kuala Lumpur ini untuk meneruskan kerjayanya itu.


Bagaimanapun menurut Irma, naluri keibuan telah terpancar dalam diri sejak dia mula disahkan doktor berbadan dua. Pelakon yang juga bekas model peragaan ini tidak banyak mengalami alahan sewaktu mengandung tetapi dia banyak beralah demi kandungannya itu.
"“Alhamdulillah sepanjang saya mula mengandung saya tidak mengalami sebarang alahan seperti mengidam makan yang pelik-pelik. Kalau ada pun cuma setakat morning sickness sahaja. Tetapi apa yang paling ketara ialah selera makan saya sedikit bertambah sampai sekarang ini.

“Kalau sebelum ini berat badan saya ialah 58 kilogram tetapi sekarang ini naik sehingga 70 kilogram dan mungkin akan bertambah sampailah saya melahirkan nanti. Cuma apa yang pasti saya memang tidak menerima sebarang tawaran berlakon sejak mengandung.

“Sebabnya saya mahu memberi lebih tumpuan kepada kandungan. Maklumlah ini adalah kali pertama saya mengandung. Banyak perkara harus saya pelajari dan lakukan demi kandungan ini," katanya kepada Hits semasa ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Irma yang telah berkahwin dengan pasangannya, Redza Syah Azmeer Mohd. Redzuan, 31, pada 29 Jun lalu, dia banyak membaca buku tentang gaya pemakanan sihat ibu yang sedang mengandung dan amalan-amalan kerohanian yang berkaitan dengan kandungan.

Katanya, dia begitu teruja sepanjang menjalani kehidupan sebagai seorang ibu mengandung dan yakin akan keberkesanan amalan-amalan yang telah dilakukannya itu termasuklah mengamalkan gaya pemakanan yang disyorkan oleh doktor dan juga dari sudut pandangan Islam.
"“Saya telah mengehadkan aktiviti-aktiviti di luar rumah kerana selepas kandungan semakin membesar, saya mudah penat dan termengah-mengah kalau banyak melakukan pergerakan. Aktiviti saya semasa di rumah bagi memastikan kandungan saya sihat.

“Selain mengikut nasihat doktor dan sentiasa melakukan pemeriksaan dalam kandungan, saya juga banyak mengamalkan diet pemakanan yang menjadi sunah. Contohnya, saya cuba memperbanyakan makan makanan seperti buah kurma, kismis dan minum air zam-zam.

“Saya juga banyak mengamalkan membaca surah-surah al-Quran yang disyorkan oleh Islam semasa mengandung. Antaranya seperti surah Maryam yang dikaitkan pengalaman Maryam semasa mengandungkan Nabi Isa. Ini antara ikhtiar demi kebaikan kandungan saya ini," ujarnya.
Sungguhpun suaminya memberi kebenaran berlakon namun Irma tetap membataskan watak-watak yang akan dilakonkannya sama ada dalam drama televisyen (TV) ataupun filem. Katanya dia akan memastikan watak-watak itu bukan sahaja sesuai tetapi turut mengikut syariat Islam.

Sepanjang mengandung, anak sulung daripada enam beradik ini memang tidak menerima tawaran berlakon drama atau filem. Akan tetapi, dia masih sempat meluangkan masanya terbabit sebagai pengacara dalam program-program TV yang terutamanya yang berkonsepkan keIslaman.
"“Sejak berkahwin suami tidak menghalang saya berlakon tetapi tidak semua watak akan saya lakonkan. Macam kalau ada adegan yang berpegang tangan dengan pelakon bukan muhrim,saya akan tolak tawaran berlakon seperti itu atau saya akan elak melakukannya.

“Semua itu boleh diatasi misalnya dengan berbincang dengan pengarah dalam sesebuah produksi itu. Walaupun tidak berlakon filem dan drama tetapi sepanjang mengandung saya masih menerima tawaran mengacara program TV seperti Assalamualaikum di saluran TV AlHijrah.

“Program itu disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi. Saya anggap tugas sebagai pengacara TV tidak seperti berlakon yang banyak masa dihabiskan di lokasi penggambaran sehingga awal pagi dan jadualnya juga tidak menentu," jelasnya.
Pada masa sama, Irma yang telah mengacara program Assalamualaikum di TV AlHijrah sejak dua tahun lalu itu turut mengehadkan kepada program-program berkonsepkan bual bicara dan sebagainya asalkan boleh memberi ilmu serta manfaat kepada para penontonnya.

Jelasnya, dia yang sebelum ini pernah mengacara rancangan-rancangan hiburan berbentuk gosip seperti Chop! selama setahun yang disiarkan di TV9 menganggap program seperti itu sudah tidak sesuai lagi dengan imej, penampilan serta statusnya pada hari ini.
“"Saya bukan hendak merendah-rendahkan program hiburan atau gosip tetapi saya cakap begini dalam konteks dan kesesuaian diri saya sekarang ini. Yang sudah berlalu itu biarlah berlalu kerana saya kini semakin faham apa yang sesuai untuk diri saya dalam bidang ini.

“Kalau boleh biarlah kerjaya saya dalam bidang lakonan dan pengacaraan sekarang ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kerjaya saya tetapi para penonton juga akan mendapat kebaikan bersama," katanya lagi yang ditemani suaminya pada pertemuan tersebut.
Selain terbabit dalam bidang seni, Irma juga aktif dalam kerja-kerja amal seperti anjuran Aman Palestin bersama ramai lagi artis tempatan bagi mengutip derma untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin yang telah menjadi mangsa serangan regim Zionis di Gaza baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Artikel Lain

Blog Lain Yang Menarik

Translate